Hak Cipta Terpelihara © 2017 Ir Sukhairul Nizam





No part of this blog should be used for commercial purpose. Any party may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited to irsukhairulnizam.blogspot.com thanks, layari laman irsukhairul.com untuk latihan dan pembangunan diri















Sunday, December 11, 2011

Konvensyen kecemerlangan Berita Harian

800 sertai konvensyen peperiksaan BHOleh Faizatul Farhana Farush Khan2011/12/11
MOHD PUAD menerima fail ketika pelancaran Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan Berita Harian sambil diperhatikan Mior Kamarul (dua dari kanan), Zainor (kanan) dan Mohd Shukri (empat dari kanan) di Shah Alam, semalam.Program dapat sambutan pelajarSHAH ALAM: Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan Berita Harian yang pertama kali dianjurkan Unit Pendidikan Berita Harian mendapat sambutan apabila 800 pelajar termasuk ibu bapa dari seluruh Semenanjung menyertainya di sini, semalam. Pada konvensyen sehari itu, calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta ibu bapa mengikuti sesi motivasi daripada penceramah undangan termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
Konvensyen itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi di Univerisiti Pengurusan dan Sains (MSU), di sini.
Turut hadir di konvensyen itu, Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said dan Pengarang Pendidikan, Muhd Yusuf Abu Bakar. Mohd Puad berkata, inisiatif Unit Pendidikan Berita Harian menganjurkan konvensyen itu amat baik kerana ia membantu pelajar. “Konvensyen ini memberi panduan kepada ibu bapa mengenai cara terbaik memainkan peranan sebenar dalam isu pendidikan anak-anak. Selain mengulangkaji pelajaran, anak memerlukan dorongan kuat ibu bapa untuk cemerlang. “Saya menggesa ibu bapa menerapkan ‘kemahiran keibubapaan’ supaya mampu memahami potensi sebenar anak, tidak menekan dan tahu berurusan dengan anak supaya mereka tidak memberontak,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan Berita Harian, di sini. Sementara itu, Mior Kamarul berkata, konvensyen berkenaan dilihat sebagai kaedah tepat bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa dalam memahami aspek penting pembelajaran anak. “Sebelum ini, Berita Harian giat mengendalikan program pendidikan seperti menerbitkan sisipan Didik, Minda, SKOR dan Varsiti selain seminar tetapi ia dalam konteks kecil. “Dengan adanya konvensyen ini, skop mendidik dan memastikan kecemerlangan calon peperiksaan menjadi lebih berkesan dan berterusan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/800sertaikonvensyenpeperiksaanBH/Article


copyright © irsukhai2010

Sunday, November 21, 2010

Jemaah haji mula tinggalkan Makkah

Jemaah haji mula tinggalkan Makkah
2010/11/21

JEMAAH haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah untuk menunaikan haji baru-baru ini. Lapangan terbang ini kembali sibuk apabila jemaah mula berangkat pulang.
Rakyat dari negara Teluk kumpulan terawal menaiki pesawat, bas pulang ke tanah air JEDDAH: Jemaah haji tempatan dan dari negara Teluk adalah kumpulan terawal yang mula mengambil penerbangan untuk pulang ke tanah air masing-masing dengan pesawat serantau kelmarin selepas selesai menunaikan ibadat itu, kata jurucakap Pihak Ber-kuasa Penerbangan Awam Arab Saudi Khaled Khaibari kepada Arab News.
Beliau berkata, jemaah mula berlepas menggunakan enam pesawat setiap jam dari Terminal Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz.
Khaibari menggesa misi haji dan agensi pengangkutan membawa jemaah ke lapangan terbang lebih awal supaya urusan perjalanan dapat selesai tepat pada masanya dan tiada kelewatan ketika kapal terbang mahu berlepas. Beliau juga meminta jemaah mengemas bagasi dengan selamat dan memastikan tiada beg yang melebihi 32 kilogram supaya ia dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam pesawat. Pengarah jabatan yang menguruskan bas jemaah, Faisal Al-Asrah, memberitahu Arab News 800,000 jemaah berlepas ke Madinah bermula semalam dalam perjalanan pulang ke rumah menggunakan bas. “Jemaah yang tiba terus ke Makkah sejurus sebelum haji akan menuju Masjid Nabawi di Madinah sebelum mereka pulang ke negara asal,” katanya. Sementara itu, Misi Haji India dalam satu kenyataan berkata pesawatnya hanya membenarkan bagasi 45 kilogram, 10 kilogram bagasi bimbit dan 10 liter air ZamZam untuk setiap jemaah. Syarikat penerbangan akan mengenakan bayaran 40 riyal (RM33.21) bagi setiap kilo-gram lebihan. Ia berkata bagasi bimbit dilarang membawa sebarang cecair dan barangan tajam seperti gunting, pisau, jarum dan sebagainya. Terminal antarabangsa itu tidak sesak walaupun ramai penumpang, namun ia akan berubah sebaik saja jemaah tidak sabar untuk kembali. Beliau menasihatkan jemaah supaya tidak membawa lebih 45 kilogram setiap seorang penumpang dalam bas dan bagasi tidak melebihi 40 sentimeter tinggi. Pengarah ubatan terlarang di lapangan terbang, Abdul Ghani Al-Malki, berkata sepasukan anggota dari Kementerian Kesihatan membantu jemaah yang sakit yang berlepas sejak Khamis lalu. “Bantuan perubatan disediakan kepada 2,000 jemaah sejak Khamis lalu, kebanyakannya mengalami penyakit tidak membahayakan,” katanya. – Agensi

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JemaahhajimulatinggalkanMakkah/Article
(accessed 21/11/2010)
copyright © irsukhai2010

Penggunaan gelaran Haji atau Hajjah sebagai rujukan

Sunday, November 21st, 2010 Posted by Najimy from PORTAL PERAK TODAY

Penggunaan gelaran haji atau hajjah

APAKAH dibolehkan seseorang itu ‘menuntut’ dan menggunakan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sesudah pulang daripada menunaikan ibadat itu?
dakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh Nabi dan sahabat? Jika dibenarkan, apakah pula ulasannya?Jawapan
Sebelum ini juga ramai bertanya sama ada gelaran ‘Haji’ boleh digunakan kepada mereka yang selesai menunaikan haji.
Saya teringat sekitar 10 tahun lalu, seorang kenalan saya memarahi rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran itu.
Bila saya tanya kenapa sampai begitu sekali, dijawabnya: “Ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan.” Demikian tegasnya secara emosi.
Saya yakin, pembaca mempunyai pelbagai reaksi membaca jawapannya. Majoriti mungkin merasa tidak bersetuju dengan hujah yang disebut sahabat itu tadi.
Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.
Jadi persoalan kita ketika ini, adakah ia dibolehkan di sisi Islam?Pada pendapat saya, gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil khusus daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.
Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.
Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman Allah SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud: “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”
Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah Allah SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.
Imam Abu Ja’far At-Tabari mengatakan: “Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah SWT itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepada satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, tidak harus (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya.” (Jami al-Bayan, 22/29)
Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.
Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti ‘ulama Mi egera’, ‘Si bodoh’, ‘Munafik’ dan lain-lain.
Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, menggelar seseorang dengan gelaran buruk bukan caranya. Ada banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.
Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah anda sendiri, bukan mereka yang digelar.
Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak menggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing.
Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada individu yang memberikan gelaran buruk itu.
Namun demikian, ada pengecualian jika sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan antara individu, maka mereka digelar dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikal mereka. Walaupun gelaran itu buruk, panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi pengenalan kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu, ia dibenarkan.
Demikian juga jika ada maslahat lebih besar untuk dijaga, seperti ulama menggelar beberapa ‘perawi’ sebagai ‘kazzab’ yang ertinya ‘banyak berbohong’ bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun, ia bukan diguna secara meluas hingga ke peringkat masyarakat awam kerana hal sedemikian hanya diketahui golongan ulama daripada kalangan pengkaji hadis dan perawinya.
Hadis Riwayat Abu Daud menyatakan, terjadi perbualan antara orang ramai dan Rasulullah apabila mereka memanggil baginda: “Wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan.”
Namun, Rasulullah SAW lantas menjawab: “Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya, tiadalah aku suka kamu mengangkat darjatku melebihi darjat yang diberikan Allah kepadaku.”
Kita perlu tahu bahawa gelaran perlu digunakan secara berhati-hati supaya tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebihan dalam mengagungkan dirinya.
Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.
Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.
Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Say- yid dan sepertinya.
Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi.
Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada Allah SWT serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insaf kepada Allah SWT.
Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu.
Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.
Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang sangat rapat dengan saya, walaupun mereka jutawan, hartawan, pengasas dan ketua syarikat masing-masing, mereka belum menerima anugerah Datuk dan juga bukan pemegang taraf Doktor Falsafah.
Justeru, gelaran apa paling sesuai untuk memanggil mereka di samping menunjukkan penghormatan kita kepada umur peringkat itu?
Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji’ saya kira paling sesuai setiap kali berhubung dengan mereka. Gelaran pakcik atau gelaran syeikh pasti kurang sesuai dengan orang yang berperwatakan sepertinya.
Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.
Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.
Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan Allah SWT sendiri.- Zaharuddin Abdul Rahman -Metro

http://peraktoday.com/wp/?p=6863&utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter (accessed 21/11/2010)

copyright © irsukhai2010

Monday, November 15, 2010

Hari Kehancuran


:::[ Hari KEHANCURAN ]::: by Islam Itu Agamaku on Friday, November 5, 2010 at 11:31pm

Gambaran Hari Qiamat

-Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

-Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

-Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

- 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

- Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

- Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

- Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

- Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ? Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ? Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
sumber: Amar Sufi


copyright © irsukhai2010

Isteriku menunaikan Haji Wukuf di Arafah hari ini dan seterusnya

Isnin November 15, 2010

2.5 Juta Jemaah Haji Wukuf Di Arafah

MEKAH: Kira-kira 2.5 juta jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia termasuk 26,000 dari Malaysia wukuf di Arafah pada Isnin - kemuncak dalam ibadah haji, dalam suasana cukup harmoni dan syahdu.
Cuaca kering, tetapi dikira tidak terlalu panas dengan suhu mencecah 34 hingga 35 darjah celsius melegakan umat Islam yang berada di tanah suci Mekah untuk sedia berhimpun di padang Arafah.
Jemaah mula berangkat ke Arafah dengan bas kira-kira 21.9 km dari Mekah sejak pukul 11 pagi semalam waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di bawah kawalan ketat.
Ada laporan agensi berita menyebut angka jemaah pada musim 1431 Hijrah ini mencecah tiga juta orang.
Jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (Zohor) dan berangkat ke Mudzalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Jemaah haji Malaysia yang diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak Muasassah berada dalam keadaan baik dan memuaskan.
Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka jelas terjaga.
Mereka pada malam Ahad banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.
Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi buat pertama kali memperkenalkan Sistem Penyiar Global (GBS) mengandungi pelbagai maklumat dan risikan mengenai isu-isu keselamatan dan cuaca pada musim haji ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut berada Arafah meninjau dan melihat keadaan jemaah Malaysia di khemah-khemah. - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/15/mstar_berita/20101115142207&sec=mstar_berita



copyright © irsukhai2010